MOSCOW: Sekurang-kurangnya 14 orang terbunuh manakala 108 lagi cedera dalam serangan Ukraine ke atas bandar Belgorod di Rusia pada Sabtu.

Dalam satu kenyataan Kementerian Kecemasan Rusia memaklumkan dua daripada yang terbunuh dan 15 daripada yang cedera adalah kanak-kanak, lapor Agensi Anadolu.

Dalam satu kenyataan berasingan, Kementerian Pertahanan Rusia berkata Ukraine menggunakan dua peluru berpandu jenis Olkha dan pelancar roket Vampire.

Menurut kementerian pertahanan sebanyak 40 sasaran awam rosak dalam serangan yang menyasarkan kawasan kediaman itu.

Rusia telah meminta satu mesyuarat Majlis Keselamatan PBB susulan serangan itu.

Terdahulu, Gabenor Wilayah Belgorod, Vyacheslav Gladkov berkata Ukraine menyerang pusat bandar Belgorod dan mengesahkan kerosakan terhadap bekalan air di pusat pentadbiran wilayah itu.

Dalam kejadian berasingan, Kementerian Pertahanan berkata sebanyak 32 dron Ukraine sama ada dilumpuhkan atau ditembak jatuh semalaman.

"Sistem pertahanan udara memusnahkan dan melumpuhkan 32 pesawat tanpa pemandu Ukraine di wilayah Bryansk, Orel, Kursk, dan Moscow," menurut kenyataan Kementerian Pertahanan.

-- BERNAMA-ANADOLU